
Fierceland, malam pelancaran dengan bacaan langsung
Ada malam yang memang sesuai untuk berehat di rumah. Malam ini bukan salah satunya.
Pada 27 November, penulis dan penggiat seni persembahan Malaysia-Australia, Omar Musa, akan berada di Ruang Tamu Ekosistem di Alamesra untuk memperkenalkan novel terbaharunya, Fierceland, yang baru diterbitkan oleh Penguin SEA. Tiada pentas besar, tiada jarak. Hanya sebuah ruang yang penuh dengan orang, timbunan buku baharu dan sebuah mikrofon.
Omar akan membaca dan mempersembahkan petikan daripada Fierceland dengan cara yang hanya penulis yang juga seorang penyair boleh lakukan. Kata-kata tidak akan duduk manis di atas halaman, sebaliknya bergerak mengelilingi ruang, berubah nada dan menangkap rentak. Di antara bacaan, beliau akan berbual santai dengan mentornya, Yee I Lann, dalam satu perbualan terbuka tentang penulisan, seni, Borneo dan betapa pentingnya bercerita dari rantau ini.
Di sekeliling mereka, Ruang Tamu menjalankan peranannya, membuka ruang untuk berkongsi idea, meneroka karya baharu dan meluangkan masa bersama cerita yang disampaikan dari dekat. Akan ada masa untuk dapatkan buku yang ditandatangani, untuk bertanya soalan dan berbual tanpa rasa tergesa-gesa.
Dan di tengah semua itu, bau nasi kuning makcik Omar yang terkenal akan memenuhi ruang. Inilah jenis hidangan yang tersebar dari mulut ke mulut lebih pantas daripada apa-apa hebahan rasmi. Dengan pinggan di satu tangan dan buku di tangan yang satu lagi, anda akan teringat bahawa cerita yang baik dan makanan yang baik sebenarnya menggunakan bahasa yang sama.
Jika anda peduli tentang puisi, novel, pemikiran kritis atau sekadar menikmati sebuah cerita yang bagus, inilah acara yang berbaloi untuk anda keluar rumah. Bawa seorang rakan yang gemar membaca dan datang sahaja sebagaimana anda. Masuk adalah percuma dan suasananya pasti hangat.
Tentang buku ini

Fierceland
Fierceland ialah sebuah novel tentang kepulangan ke tempat yang pernah dirosakkan oleh keluarga sendiri.
Selepas bertahun tahun di perantauan, adik beradik Roz dan Harun pulang ke Borneo Malaysia untuk pengebumian bapa mereka, Yusuf. Yusuf pernah menjadi tokoh besar industri kelapa sawit, seorang yang membina kekayaan dengan memusnahkan hutan dan juga kehidupan ramai orang. Wang itu membawa kesenangan dan status, tetapi juga meninggalkan jejak kerosakan, termasuk kehilangan secara ganas seorang lelaki yang berani menghalang langkahnya.
Roz, seorang artis yang sedang berjuang untuk terus bertahan di Sydney, dan Harun, usahawan teknologi yang berjaya di Los Angeles, pulang dengan kompromi dan jarak mereka sendiri. Dalam usaha memulangkan sesuatu yang pernah dicuri bapa mereka daripada hutan, mereka terpaksa berhadapan dengan warisan sebenar yang ditinggalkan : kuasa dan rasuah, para pemimpi dan perantau, samseng, fanatik dan para sekutu senyap yang memilih untuk tidak peduli.
Novel ini bergerak merentasi benua tetapi sentiasa kembali pada soalan yang sama. Apa yang kita buat bila keselesaan kita dibina atas kehilangan orang lain . Bagaimana hendak hidup bersama hantu hantu kolonialisme, keluarga, bahasa, dan landskap yang mengingat lebih daripada manusia.
Fierceland ialah kisah keluarga, kisah tentang alam sekitar dan juga kisah tentang Borneo, yang diceritakan dalam skala yang terasa rapat tetapi pada masa yang sama penuh rasa mitos.

Omar Musa
Omar Musa ialah pengarang, penyanyi rap, artis visual dan penyair Borneo-Australia dari Queanbeyan, NSW, Australia. Dia telah mengeluarkan empat buku puisi (termasuk Killernova), empat rekod hip-hop, dan menerima tepukan gemuruh di TEDx Sydney di Sydney Opera House (EN).
Bagaimana untuk pergi ke acara ini?
Ruang Tamu Ekosistem
1st Floor, Block K, Lot 63, Lorong Plaza Utama, Alamesra Plaza Utama, 88400 Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.